Tuesday 25 October 2011

Jenis Wau


Jenis-jenis Wau


Terdapat pelbagai jenis dan bentuk wau di Malaysia . Antaranya wau burung, wau helang, wau kucing,wau jala budi,wau merak,wau puyuh,wau kupu-kupu,wau kangkang,wau pari dan yang sangat digemari oleh orang Melayu ialah wau bulan.

1) Wau Bulan




2) Wau Helang


3) Wau Kucing


4) Wau Jala Budi


5) Wau Merak


6) Wau Puyuh


7) Wau Kupu-Kupu



8) Wau Kangkang


9) Wau Pari

Cara Bermain Wau

Cara bermain

Sebelum bermain wau, wau perlu ditimbang terlebih dahulu sebelum dinaikkan supaya bahagian kepala dan sayap menjadi sama imbang. Ini bagi mengelakkan daripada wau menjadi berpusing ketika diterbangkan.



Selepas itu kita perlulah membuat teraju wau (benang yang diikat pada bahagian leher dan pinggang wau). Teraju yang sempurna adalah penting sebelum sesebuah wau itu diterbangkan. Ini akan mempengaruhi kedudukkan wau supaya terbang dengan baik.




Pada kebiasaannya wau akan dimainkan oleh dua orang,iaitu seorang akan memegang wau dan seorang lagi dipanggil juru anjung yang memegang tali. Apabila angin bertiup maka tali akan ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya sehinggalah wau tersebut tinggi di udara. Kilauan cahaya matahari akan menambah cantik lagi wau yang dihias berwarna-warni.






Di masa kini walaupun wau masih mendapat tempat di kalangan masyarakat Melayu tetapi layang-layang juga tidak kurangnya telah mendapat perhatian oleh masyarakat tempatan dan juga antarabangsa. Pelbagai bentuk dan corak layang-layang telah dicipta, ada layang-layang yang berbentuk orang, kapal berangkai dan ada yang dimainkan dengan menggunakan dua utas tali. Kebanyakkan pertunjukan wau dan layang-layang masih mendapat tempat di Malaysia, terutama ketika hari-hari sambutan perayaan atau pertandingan wau antarabangsa.

Cara Membuat Wau

Menghasilkan wau

Pembuatan sesebuah wau agak rumit dan memakan masa, dari kerja-kerja meraut buluh untuk dijadikan rangka, mengimbangkan kepak sehingga melekatkan kertas pada rangka wau tersebut mengambil masa dua minggu untuk siap. Rangka buluh tulang belakang wau lebih besar daripada kepaknya, kemudian diikat dengan menggunakan benang mengikut bentuk serta jenisnya.

Rangka yang telah disiapkan akan ditampal dengan tiga lapis kertas nipis dan lutsinar dengan berlainan warna. Lapisan pertama menggunakan kertas berkilat, lapisan kedua menggunakan warna yang berbeza dan bercorak awan larat iaitu bercorak pucuk rebung atau bunga cengkih yang telah ditebuk. Pada lapisan ketiga pula corak berlainan yang telah ditebuk ditampalkan.

Di bahagian kepala atau muncungnya serta dihujung kiri dan kanan kepak, akan dihiasi dengan rambu-rambu halus yang berwarna warni menambah cantik lagi rupanya. Busul akan diregangkan di bahagian belakang tengkuk wau, agar ianya mengeluarkan bunyi dengung apabila diterbangkan diudara. Busul diperbuat dari daun rembia atau mengkuang yang telah direndam dan dilurut lalu dibiarkan kering. Ia berbentuk seperti alat memanah. Tali teraju diikatkan di antara bahu kepak dan tulang belakang sebelah bawah wau bagi mengimbangi wau -Teraju Tiga.

Perincian wau

Terdapat lima komponen asas bagi sebuah wau tradisional iaitu terdiri daripada kepala wau, busur atau dengung, sayap wau, torek atau bahagian pinggang dan ekor wau.

Teknik pembuatan wau tradisional

Antara bahan-bahan mentah yang diperlukan untuk membuat wau ialah buluh, kulit rotan, gam daripada pokok kayu dan lain-lain keperluan yang bersesuaian untuk menghasilkan sebuah wau.

Selain daripada itu, kepakaran dan kemahiran juga merupakan aspek utama untuk menghasilkan sebuah wau yang bermutu seperti kepakaran dalam pemilihan bahan mentah, kemahiran kraftangan serta pengetahuan di dalam bidang aerodinamik. Bagi memastikan wau yang akan dihasilkan mempunyai kualiti, bahan mentah seperti buluh terutamanya perlu dipilih dengan lebih teliti.

Oleh itu terdapat beberapa petua serta pantang-larang yang terlibat semasa ingin menebang dan menyimpan buluh tersebut.

Petua dan pantang larang pemilihan buluh

Rumpun buluh mestilah di kawasan yang tinggi dan lapang, bukan di dalam semak atau dusun.

Pilih buluh yang kelihatan kering, seelok-eloknya di tengah rumpun.
Jangan tebang buluh yang mempunyai pucuk muda kerana buluh tersebut mempunyai banyak kanji dan mudah diserang serangga perosak.

Buluh yang condong ke arah matahari naik adalah lebih baik kerana mempunyai semangat yang kuat menurut kepercayaan orang tua-tua.
Keadaan cuaca kering dan panas adalah sangat sesuai untuk menebang buluh seperti di waktu tengahari.

Jika menebang buluh pada waktu pagi, pastikan penebang menindih bayangnya.
Sebelum menebang buluh, digalakkan membaca doa dan selawat terlebih dahulu
Adalah lebih baik buluh yang sudah ditebang dipotong di situ juga.

Penyimpanan buluh

Buluh akan disimpan dahulu sekurang-kurangnya setahun sebelum diraut menjadi rangka wau. Biasanya tempat penyimpanan mestilah tinggi untuk mengelakkan buluh daripada dilangkah manusia.

Antara petua-petua yang digunapakai untuk memastikan buluh tersebut tahan dan kuat ialah :-

Buluh disimpan di dalam paya atau direndam di dalam selut.
Buluh ditanam di dalam pasir dan dinyalakan unggun api di atasnya selama satu jam.
Menyalai kepingan buluh pada bara api.

Meraut buluh

Buluh perlu diraut untuk membuang bahagian-bahagian yang tidak diperlukan seperti ruas dan kulit. Selain itu tujuannya adalah untuk memberi keseimbangan pada bentuk dan berat bahagian sayap wau. Pisau khas digunakan untuk meraut dan mestilah benar-benar tajam bagi memastikan kerja-kerja tersebut dapat dijalankan dengan mudah dan mengelakkan daripada kesilapan.

Antara bahagian buluh yang perlu diraut adalah seperti :-
Bahagian tulang belakang diraut sehingga 1.0 sentimeter dengan kadar lembut dan sederhana keras.

Bahagian bilah sayap di kedua-dua bahagian diraut sehingga 1.5 sentimeter dan semakin halus di hujung bilah tersebut iaitu sebesar lidi kelapa.

Bahagian ekor yang mempunyai dua bahagian juga perlu diraut sehingga 0.5 sentimeter.

Raut bilah-bilah buluh untuk bahagian pinggang dan bulatan berbentuk bulan. Rautan di bahagian tersebut adalah lebih nipis dan bersaiz kecil 0.5 sentimeter untuk memudahkan ia dibentuk.

Selepas semua buluh diraut, proses seterusnya ialah semua bilah tersebut akan digosok pula dengan kertas pasir.

Membuat bingkai

Bingkai wau terdiri daripada beberapa bahagian utama iaitu tulang belakang, tulang rentas sayap, rangka sayap dan rangka ekor. Buluh yang sudah diraut akan dipotong mengikut ukuran wau yang dikehendaki iaitu dua keping buluh untuk sayap, satu keping untuk tulang belakang dan dua keping lagi untuk rangka ekor. Kepingan buluh yang hendak dibuat sayap perlulah diseimbangkan dengan menandakan di tengah-tengah kepingan buluh.

Rangka bingkai wau kemudian akan diikat:


Tulang belakang wau diukur kepada 3 bahagian dan kemudiannya ditanda 3 bahagian tersebut.

Bahagian sayap wau akan diikat terlebih dahulu.
Sayap yang sudah diikat akan diikat pula pada tulang belakang.
Ikat di bahagian atas dan bawah ekor pada tulang belakang. Pastikan bahagian tersebut seimbang di kedua-kedua belah.
Cantumkan hujung bahagian ekor kemudian tautkan pada hujung bahagian sayap.
Untuk bahagian pinggang terutamanya jenis wau bulan, kepingan buluh ditaut membentuk separa bulatan pada bahagian sayap dan ekor wau. Seterunya kepingan buluh yang diraut lebih nipis dibentuk menjadi bulatan untuk diikat di tengah pinggang wau. Saiznya ditentukan dengan mengikut nisbah iaitu bersamaan dengan keluasan kepala wau.

Langkah terakhir ialah membuat kepala wau iaitu dengan mengikat separuh daripada kepala wau dengan sayap dengan jarak 2 inci dari tulang belakang.
Setelah bingkai wau siap, satu lapisan asas yang dipanggil ‘tanah’ akan dipasang pada wau. Tujuannya supaya wau tersebut tahan lasak kerana sifat utama kertas tersebut lebih kenyal dan tidak ditembusi angin.

Pemasangan melibatkan beberapa langkah:

1) Ukur kertas dengan saiz bingkai.
2) Kemudian kertas ditanda dengan pensil dan perlu dilebihkan dua sentimeter dari rangka bingkai.
3)Potong kertas wau tersebut dan lebihan tadi dipotong dalam bentuk ‘V’.
4)Lekatkan kertas pada bingkai dengan menggunakan gam kanji.
5)Mengukur, melukis dan menyobek corak
6) Ukiran lukisan pada badan wau adalah antara elemen utama yang menjadikan wau tersebut unik dan istimewa. Antara langkah-langkah yang terlibat:
7) Lipat empat kertas warna untuk bahagian sayap, dan lipat dua untuk bahagian ekor.
8)Mulakan melukis dari bahagian dada sehingga ke hujung sayap dengan mengosongkan satu ruang kosong untuk ruang tapak kijang, bagi bahagian ekor pula, corak yang hendak dilukis mestilah sama dengan corak di bahagian sayap.
9)Corak perlu dipotong menggunakan pisau tajam khas dan corak ini menjadi corak asas bagi wau.
10)Corak akan ditampal pada kertas warna lain, biasanya warna emas dengan menyapu gam di belakang kertas corak. Gam perlu dicampur dengan air terlebih dahulu untuk elakkan daripada berkedut. Kertas bercorak akan diletakkan di atas kain lembap.
11)Kertas berwarna diletakkan perlahan-lahan ke atas kertas corak dan kemudiannya diratakan dengan menggunakan seterika panas di atas kain lembap tadi.
12)Potong semula corak yang hendak disobek dan tampal sekali lagi dengan kertas berlainan warna sehingga siap sepenuhnya.
13)Tampal ukiran sobek tadi pada tanah wau dengan hanya menyapu gam kanji pada bahagian tepinya sahaja.
14)Bahagian yang tidak lekat dikemaskan dengan menyapu gam menggunakan berus lukisan. Bagi wau hiasan akan ditampal kertas hiasan di belakang wau untuk menutup kecacatan iaitu kerangka buluh dan tulang rentas sayap wau.
15)Berlainan pula dengan wau yang hendak diterbangkan mestilah menggunakan kertas yang tidak menyerap air. Selain itu, belakang wau tersebut tidak ditampal kertas hiasan dan ukiran sobek hanya mempunyai tiga atau empat lapis sahaja berbanding dengan wau hiasan yang mempunyai sehingga lapan warna.

Memasang jambul atau rambu

Jambul atau rambu dipasang dengan dililitkan pada rangka ekor atau sayap wau.
Jambu biasanya diperbuat daripada kertas ‘crepe’ yang dipotong dengan gunting secara memanjang untuk membentuk rambu.

Memasang belalai


Belalai menggunakan bahan yang sama dengan jambul tetapi dipasang pada kepala wau.

Memasang busur

Fungsi utama busur ialah untuk mengeluarkan bunyi semasa wau diterbangkan. Terdiri daripada empat komponen iaitu ‘bok’, daun ibus, inas dan buluh penyepit.
Potong kepingan buluh dengan ukuran separuh daripada panjang sayap wau.
Raut kepingan tersebut, belah daun ibus yang sudah dikeringkan ikut kesesuaian bunyi yang dikehendaki.

Untuk membuat inas, buluh cina sesuai digunakan dan dipotong sepanjang dua sentimeter dan ditebuk di bahagian tengahnya sebesar saiz busur.
Setelah ketiga-tiga komponen dicantumkan, lekatkan busur tersebut pada kepala wau dengan menggunakan buluh penyepit dan kemudiannya diikat menggunakan benang nilon.